Dalam kehidupan masakini yang tertekan dengan kedudukan ekonomi yang kurang mantap, ramai muslim mencari alternatif tambahan dengan menjalankan pendapatan sampingan seperti melabur, menjadi pemilik modal sesebuah syarikat, perlaburan emas, MLM, online cash dan sebagainya. Kita semua akur bahawa tuntutan serta keperluan hidup zaman kini amat tinggi sejajar dengan perkembangan teknologi dan ilmu yang baru. Namun, adakah kita sebagai seorang muslim pernah memikirkan, meneliti, menyiasat adakah sumber pendapatan sampingan ini benar-benar halal dan sah disisi islam?
sebagai seorang muslim, wajib untuk kita memastikan bahawa sumber kewangan yang masuk ke dalam keluarga kita adalah dari sumber yang sah. Gaji yang diperolehi juga perlulah dipastikan bersih dan suci tanpa unsur syak. Kita selalu berusaha memastikan kerja makan gaji kita agar sentiasa mengikut etika seperti tidak ponteng kerja, melakukan tugasan dengan sempurna, mengeluarkan zakat pendapatan dan sebagainya agar hasil titik peluh yang diperolehi adalah bersih namun kita selalu terlupa memastikan sumber sampingan ini juga dari sumber yang bersih dan suci lagi menyucikan. Setelah meneliti tulisan Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman, dapat disimpulkan bahawa, mencari rezeki yang halal adalah penting dan perlu penelitian.
Ada syarikat yang sangat popular baru-baru ini menawarkan pakej pemilikan modal yang menjanjikan keuntungan tetap setiap 3-4 bulan dan ramai yang terpedaya dengan pulangan yang menguntungkan tanpa memastikan halal atau haram kaedah yang digunakannya. (keterangan lanjut di http://www.zaharuddin.net/pelaburan-&-perniagaan/260-pelaburan-masa-lepas-a-jaminan-untung.html)
Begitu juga perlaburan emas, yang semakin menjadi perhatian umum. Jual beli emas tidak haram, tetapi kaedah jual beli serta perlaburannya perlulah jelas mengikut hukum. (keterangan lanjut di http://www.zaharuddin.net/pelaburan-&-perniagaan/764-hukum-akaun-pelaburan-emas-di-bank-malaysia.html)
Bagi perniagaan MLM pula, kebersihan kaedahnya perlu diteliti agar tidak termakan sumber yang tidak bersih. (keterangan lanjut di http://www.zaharuddin.net/pelaburan-&-perniagaan/222-multi-level-marketing-menurut-shariah.html)
Semua muslim tahu bahawa 9 dari 10 sumber rezeki datang dari perniagaan dan ketahuilah bahawa, perniagaan memerlukan pengendalinya mendalami hukum hakam agama agar sumber betul-betul mengikut syariah yang ditetapkan. Namun kita dapati rata-rata rakyat Malaysia tidak cakna dengan hukum syariah dalam perniagaan dan lebih tertarik dengan pulangan yang menguntungkan tanpa menyiasat dahulu kaedah perniagaannya.
Begitu juga dengan rukun islam yang ke-4 iaitu mengeluarkan zakat bagi menyucikan sumber pendapatan. Rakyat Malaysia tahu tentang syahadah, sembahyang, puasa dan mengerjakan haji jika mampu namun persoalan zakat sering diambil mudah. Zakat pendapatan perlu dikeluarkan setiap tahun berdasarkan kiraan-kiraan tertentu kerana setiap hasil titik peluh kita ada sebahagiannya adalah hak milik org miskin, anak yatim dan golongan yang telah ditentukan. Andai kita tidak mengeluarkan zakat maka kita telah memakan bahagian yang bukan hak kita. Begitu juga dengan zakat simpanan, jika cukup haul (setahun) serta nisabnya, wajib kita mengeluarkan zakat. Beberapa zakat lain yang selalu diabaikan ialah zakat emas, zakat perniagaan dan sebagainya.
Islam adalah agama yang syumul dan segala peraturan yang ditetapkan adalah sangat indah dan bermanfaat untuk sejagat dan tidak tertumpu kepada satu-satu golongan sahaja. Hukum perniagaan dan zakat juga amat baik bagi mengukuhkan kewangan dan ekonomi islam.
Apabila satu syarikat milikan bumiputra dan muslim dikatakan haram, tidak betul atau tidak patuh syariah, muslim yang lain sering melemparkan kata-kata bahawa melayu ingin menjatuhkan sesama melayu, melayu tidak boleh melihat anak bangsa maju, melayu pantang melihat anak bangsa berjaya, melayu berhati busuk dan tidak senang dengan kemewahan bangsa sendiri dan dituduh sengaja melemparkan fitnah. Namun, adakah kita sesama melayu atau lebih tepat dikatakan muslim, sedar bahawa teguran dari sesama muslim itu adalah untuk kebaikannya juga? Apakah yang kita kejar selama ini? Kesenangan dan kemewahan hidup di dunia atau kebahagian yang kekal di akhirat?